Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersedia menerima etnik Rohingya melanjutkan pelajaran di universiti teknikal pertama negara itu.

Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin bagaimanapun berkata, pihaknya perlu mengambilkira pandangan semua pihak khususnya ibu bapa pelajar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Menurutnya, ia kerana setiap pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan diperlukan universiti awam itu dan undang-undang negara, bukan hanya terletak kepada etnik sebagai penentu kemasukan pengajian.

“Kita juga perlu menjaga sensitiviti kerana tidak mahu menimbulkan sebarang isu sensitif dan ini (kelayakan) perlu diserahkan kepada kepada budi bicara dan keprihatinan Timbalan Canselor yang lain.

“Kalau budak itu (pemohon etnik Rohingya) layak kita terima, kita tidak mahu hukum berdasarkan etnik, namun kita lebih (mengutamakan) soal keselamatan dan UTeM juga akan mengambil kira pandangan ibu bapa penuntut sedia ada di sini sama ada sesuai atau tidak.

“Apa yang penting, UTeM tetap memberi perhatian terhadap kelayakan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 di Kampus Induk UTeM di sini yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, kementerian itu tiada halangan untuk pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan.

Katanya, keputusan itu tidak akan mengancam kedaulatan negara kerana Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun, tidak boleh lari daripada sifat manusiawi dan ihsan. – MalaysiaGazette