KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai ringgit akan memberikan kesan parah kepada rakyat dan negara.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, nilai A$1 bersamaan RM4.65 sekarang akan menyebabkan harga barang meningkat berkali ganda.
“Malah pergantungan kepada import sangat terkesan kepada pertukaran matawang ini.
“Akhir sekali rakyat yang menjadi mangsa. Rakyat yang akan menanggung semua kos ini. Apatah lagi buat golongan M40 dan T20 yang juga perlu bayar cukai yang tinggi. B40 tak usah ceritalah,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Tambahnya, nilai ringgit yang merosot akan mendatangkan impak besar dan membebankan kepada pelajar Malaysia yang berada di luar negara.
“Duit yang diterima dalam ringgit tapi nilainya amat sedikit bila kejatuhan ringgit berlaku.
“Bertabahlah anak-anak Malaysia. Keadaan mereka juga perlu diambil kira. Bukan yang ada di Malaysia saja,” kata beliau yang kini berada di Berlin, Jerman.
Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bimbang sekiranya nilai ringgit terus merosot akan memudahkan rakyat luar mengambil kesempatan untuk membeli barangan termasuk hartanah di negara ini.
Mas Emeryati bertegas, kerajaan perlu campur tangan supaya nilai ringgit tidak merosot.
“Saya menggesa agar pihak kerajaan bertindak segera untuk mengelakkan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat semakin buruk sehingga tidak terkawal ini.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi di mana ianya memudahkan orang luar untuk membeli barangan dan juga harta di negara ini pada harga murah mengikut nilai mata wang berkenaan. Yang ruginya adalah kita rakyat Malaysia,” kata beliau.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak bercadang untuk campur tangan segera dalam krisis kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini.
Beliau menegaskan, tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada masa ini.
Menurutnya, kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar, dengan dana itu sepatutnya disalurkan kepada keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan menunggu impak positif yang akan terhasil menerusi penstrukturan semula ekonomi termasuk langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan secara berperingkat. – MalaysiaGazette















