P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya di enam negeri tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, kemenangan tersebut juga tidak akan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Pemimpin PN berkata sekiranya PN berjaya atau memenangi pilihan raya di lima daripada enam kerusi DUN Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor, kemenangan itu sudah cukup untuk menggegarkan kerajaan pusat.

“Walaupun PN memenangi semua pilhan raya negeri termasuk di Pulau Pinang, sesuatu yang dikira mustahil, ia tidak mungkin kemenangan PN akan menjejaskan kestabilan atau kesinambungan kerajaan pusat.

“Kerajaan persekutuan mungkin goyah, tetapi kejatuhannya mungkin tidak berlaku,” kata Ramasamy.

Tambah Ramasamy, angan-angan PN untuk memenangi pilihan raya di lima negeri terutama di Selangor dan Negeri Sembilan sukar untuk dicapai.

Malah beliau menyifatkan keinginan PN merampas Pulau Pinang hanyalah satu bentuk khayalan.

“Idea untuk memenangi Pulau Pinang dicetuskan untuk memberikan maruah kepada Gerakan.

“Gerakan yang tidak dapat mempertahankan orang bukan Melayu daripada kata-kata Hadi Awang yang berbaur perkauman terhadap kaum bukan Melayu berada dalam kedudukan yang paling rendah dalam sejarah politik negara.

“Bagi Gerakan untuk memenangi hati atau sokongan orang bukan Melayu di Pulau Pinang adalah satu tugas yang tidak dapat dibayangkan dan sesuatu yang tidak dapat diterjemahkan menjadi realiti,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, gelombang hijau hanyalah gelembung seketika dan bukan kehadiran fenomena yang kekal merentasi masa dan ruang.

Tambahnya, banyak perkara telah berlaku dan berlalu sejak pilihan raya umum berlangsung tahun lepas.

Tuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin PN termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu benar-benar bebas daripada rasuah dan salah laku kewangan lain

“PN di bawah beban rasuah dan skandal kewangan lain yang telah terdedah mungkin tidak dapat menghalang gelembung gelombang hijau daripada pecah.

“PN mungkin mempunyai kuasa menggerakkannya berdasarkan tanggapan eksklusif kaum dan agama, tetapi ia mempunyai hala jalan yang lemah dan menyedihkan untuk mentadbir negara berdasarkan keterangkuman,” kata Ramasamy. – MalaysiaGazette