KUALA LUMPUR – Selepas lapan tahun penemuan kem penempatan sementara pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian empat warga Thailand akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Kerajaan Thailand membabitkan 10 individu warga negara itu pada 6 Januari 2017.

“Sepanjang tempoh lebih enam tahun ini, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand telah berusaha untuk mengesan kesemua individu tersebut bagi melaksanakan proses ekstradisi.

“Hasil dari kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada sepuluh individu telah berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

“Kes ekstradisi ini telah berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac 2023 akhirnya telah mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu tersebut untuk diserahkan kepada Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand penyerahan keempat- empat individu tersebut kepada Malaysia telah dilaksanakan hari ini.

“Kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Dalam Negeri khususnya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian ini berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” kata beliau.

Pada Mei 2015, pihak polis menjumpai 139 kubur di 28 kem sementara yang dikendalikan oleh sindiket pemerdagangan manusia di hutan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia di Wang Kelian.

Kubur serupa juga turut dijumpai di Thailand. Mangsa dipercayai berasal dari Myanmar dan Bangladesh untuk mencari pekerjaan. – MalaysiaGazette