KUALA LUMPUR – Laporan penuh mengenai kajian penggunaan kamera pakai di badan (BWC) melibatkan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka dibentang pada suku akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ketika ini kementeriannya sedang memperhalusi penggunaan BWC demi memastikan kualiti perkhidmatan anggota-anggota penguatkuasa jabatan itu.
“Pada masa ini, pihak JPJ berada di fasa pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan penggunaannya termasuk melaksanakan siri-siri Proof of Concept (PoC) bagi mengkaji pelbagai aspek melibatkan perundangan, pengoperasian, penilaian keupayaan alat BWC dan teknologi yang digunakan, implikasi kewangan, serta keberkesanannya bagi meningkatkan integriti ketika melaksanakan aktiviti penguatkuasaan.
“Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat yang menawarkan PoC kepada JPJ dan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Aziz Ariffin yang ingin tahu mengenai pelaksanaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa JPJ serta peruntukan yang diperlukan.
Menurut Hasbi, PoC itu akan melibatkan pejabat-pejabat JPJ di seluruh ibu negeri dan cawangan terpilih termasuk di Sabah dan Sarawak.
Katanya, PoC itu juga dijangka berakhir pada 30 September ini dan laporan penuh akan disediakan serta dihantar ke Kementerian Pengangkutan untuk proses selanjutnya.
Tambah beliau, penggunaan BWC juga dilihat mampu meningkatkan tahap kepercayaan orang awam terhadap anggota JPJ termasuklah isu-isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini.
Ujarnya, kementerian berpandangan bahawa penggunaan BWC bukan sahaja dapat meningkatkan integriti penguatkuasaan JPJ semata-mata, malah berupaya untuk melindungi anggota-anggota penguat kuasa JPJ daripada pelbagai tohmahan atau tuduhan pihak yang tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette