Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub beramah mesra bersama usahawan Asnaf pada Majlis Perhimpunan Bulan KPDN Serta Pelancaran Jenama Pakej Insuran Rahmah dan Pakej Takaful bersama Allianz Malaysia dan Etiqa di di KPDN, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 22 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna khususnya di Pantai Timur, menjelang sambutan Hari Raya Haji, minggu hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jaminan sama turut diberikan dua pengeluar gula tempatan, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

“Cuma di negeri-negeri sempadan itu, kita akan tingkatkan penguatkuasaan dan kita pastikan Hari Raya Haji ini mencukupi.

“Minggu lepas kita turun padang, ada beberapa tempat yang masih terdapat kekurangan, bukan tak ada, kekurangan kita atasi dalam tempoh satu dua hari.

“Setakat hari ini, sudah tiga empat hari, tiada aduan, dan kita akan pantau dengan serius menjelang Hari Raya Haji ini supaya bekalan itu (gula) mencukupi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna KPDN, di sini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, bagi memastikan bekalan gula mencukupi, MSM dan CSR diminta memberikan laporan pengeluaran gula masing-masing setiap hari.

“(Kemudian) Badan penguatkuasa akan periksa dengan pemborong dan pembekal supaya tidak berlaku terputusnya bekalan menjelang hari raya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga susu formula di pasaran, beliau berkata, trend itu terus kekal meningkat sejak 2018.

“Ini kerana isu kebanyakan susu formula dalam negara kita ini di mana bahan mentahnya diimport.

“Jadi kita tidak boleh elak daripada kenaikan harga,” katanya.

Bagaimanapun katanya, KPDN dengan kerjasama pihak industri sedang merancang untuk memperkenalkan susu formula bukan bayi pada harga Rahmah, dalam masa terdekat.

“Kalau susu formula bayi itu menjadi isu, kita bagi formula biasa untuk dewasa, kanak-kanak yang telah melepasi kategori bayi itu dan masih menyusu, atau memerlukan susu selain susu ibu, mereka boleh membeli dengan harga Rahmah.

“Industri berjanji dalam masa dua tiga hari ini mereka akan memberikan keputusan sama ada ada susu jenama tertentu yang akan dijual nanti dengan harga Rahmah,” katanya. – MalaysiaGazette