electricity tariff bill TNB domestic users
Pekerja pembaca meter, Mohd Hafizul Danial melakukan kerja-kerja membaca meter elektrik. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, tinggi atau rendah penggunaan tenaga berada di tangan para pengguna, justeru setiap orang perlu membudayakan penggunaan pelbagai peralatan elektrik di kediaman masing-masing secara berhemah.

Bagi mengawal penggunaan tenaga, para pengguna perlu lebih peka terhadap kaedah penggunaan setiap perkakas elektrik secara optimum, sekali gus mengelak penggunaan tenaga berlebihan.

Menurut TNB, cuaca kering dialami negara dengan purata hujan rendah sejak April dan diramalkan berterusan hingga Ogos, ditambah pula dengan musim perayaan Hari Raya Puasa, telah meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.

Trend peningkatan berterusan apabila rekod tertinggi permintaan maksimum bekalan tenaga sebanyak 19,716 Megawatt (MW) dicatat pada 11 Mei 2023.

Penggunaan tenaga ini dikesan meningkat bagi peralatan seperti penyaman udara dan kipas.

Sekalipun cara penggunaannya sama termasuk dari segi tempoh masa serta suhu dilaraskan pada 24 darjah celcius, tenaga yang digunakan adalah lebih banyak berbanding bulan sebelumnya kerana sistem penyejuk bekerja lebih kuat dalam cuaca lebih panas.

“Apabila jumlah kilowatt-jam (kWh) tenaga yang digunakan semakin meningkat, pengiraan bil akan melibatkan blok tarif yang lebih tinggi kadarnya, lantas pengguna akan menerima bil lebih tinggi. Blok tarif ini tidak berubah sejak kadar sedia ada ditetapkan pada 2014.

Justeru, TNB dari semasa ke semasa akan mengingatkan semua rakyat tentang amalan penggunaan elektrik berhemah bagi pelbagai peralatan termasuk di ruang tamu, di dapur, di bilik tidur dan bilik mandi dapat membantu menjimatkan penggunaan dan mengelak pembaziran tenaga.

Budaya penggunaan tenaga elektrik yang betul dan secara berhemah ini bukan sahaja perlu diamalkan dalam keadaan cuaca panas sekarang bahkan amat wajar menjadi amalan seterusnya untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha sejagat ke arah kehidupan yang lebih lestari.

“Kita perlu sedar dan peka bahawa penjimatan penggunaan tenaga boleh membantu usaha menangani perubahan iklim melalui pengurangan pelepasan karbon yang dijana oleh sumber bahan api fosil, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan kehidupan manusia.

Mereka yang berkediaman dipasang meter pintar mempunyai kelebihan tambahan yang mana boleh memantau penggunaan elektrik harian dalam unit Ringgit ataupun kWh melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) ataupun aplikasi myTNB.

TNB berkata, kelebihan utama meter pintar adalah dari segi ketepatan maklumat pengebilan serta membolehkan pengguna mendapat maklumat bagi tujuan pengurusan perbelanjaan tenaga isi rumah.

Dengan informasi penggunaan elektrik secara harian, pengguna yang mempunyai meter pintar diberi pemerkasaan diri untuk merancang dan mengawal penggunaan tenaga
elektrik dengan lebih efisien.

Para pengguna digalakkan memuat turunkan aplikasi myTNB dan mendaftarkan akaun TNB mereka, sama ada premis dipasang meter pintar atau tidak, agar dapat mengenal pasti jumlah penggunaan elektrik secara bulanan, melihat sejarah penggunaan elektrik dan mudah menyemak bil elektrik agar pelarasan penggunaan tenaga dapat dibuat sebelum bil bulanan dikeluarkan. – MalaysiaGazette