ACP Amihizam Abdul Shukor

KUALA LUMPUR – Seorang wanita nyaris kehilangan wang selepas menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menuntut wang tebusan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa telah menculik anaknya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima empat laporan menegnai pesanan Whatsapp yang mendakwa berlaku kejadian culik murid sekolah di sekitar Lembah Klang pada 13 hingga 15 Jun.

“Siasatan polis dalam kes tersebut mendapati salah seorang pengadu, iaitu wanita warga tempatan yang bekerja sebagai eksekutif akaun di salah satu syarikat tempatan
memaklumkan bahawa dia telah menerima satu panggilan telefon dari satu individu misteri dan tidak dikenali mendakwa telah menahan anaknya.

“Suspek kemudian telah mengarahkan pengadu menyerahkan sejumlah wang tebusan untuk memastikan anaknya dibebaskan.

“Bagaimanapun, pengadu dengan segera bertindak bijak memeriksa keadaan anaknya sebelum mendapati anaknya berada dalam keadaan selamat dan terlindung dan serta-merta memutuskan panggilan palsu suspek tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Amihizam, kertas siasatan dibuka berdasarkan empat laporan polis yang diterim itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 kerana menipu dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Amihizam mengingatkan orang ramai agar menghubungi sekolah atau mendapatkan pengesahan guru sekolah sekirannya mengalami situasi tersebut atau menghubungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette