Ahmad Fadhli Shaari.-Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengemukakan dua cadangan kepada Kerajaan Perpaduan bagi memberikan keyakinan untuk menarik pelabur.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata salah satu adalah menggugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada seorang individu yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Bukan satu kes, tetapi 47 kes. Pilih mana-mana Ahli Parlimen yang bersih dan jika perlu daripada UMNO/BN, masih ramai lagi yang tidak hadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu diberikan ekoran gesaan Menteri Kewangan, Rafizi Ramli yang mahu pembangkang memberikan pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan kepada kerajaan.

Pada Selasa lalu, Rafizi berkata, pembangkang harus menghentikan ‘wayang politik’ ketika Pilihanraya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Rafizi berkata, PN sepatutnya lebih rasional dalam memainkan isu sebenar yang memberi impak positif kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan rakyat.

Ahmad Fadhli turut mencadangkan agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melantik Menteri Kewangan yang akan lebih fokus kepada tugasannya tidak seperti yang dilakukan Anwar sekarang.

“Inilah yang diperjuangkan sendiri oleh Pakatan Harapan sebelum ini bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mestilah orang yang berasingan ke arah mewujudkan good governance yang berkesan.

“Tapi saya yakin, kedua-dua cadangan di atas tidak akan diterima. Jadi kepada rakyat, tolak sahaja kerajaan ini dalam PRN yang akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette