KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya jangan berebut kerusi pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, apa yang penting, kedua-dua gabungan parti politik itu bertanding untuk menewaskan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, formula menang-menang mesti diberi keutamaan dan tidak mengapa sekiranya kerusi yang ditandingi adalah sedikit asalkan boleh menang.
“Kedua pihak BN dan PH kena saling bantu membantu untuk kemenangan. Pengundi BN kena undi calon PH dan pengundi PH kena undi calon BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, proses rundingan kerusi antara BN dan PH bagi PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu ketika ini adalah di tahap 90 peratus.
Dalam perkembangan sama, Mustapha memberitahu, rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH sepatutnya sudah selesai memandangkan PRN semakin hampir.
Beliau menambah, masa yang berbaki seharusnya digunakan untuk menyusun strategi dan bekerja untuk kemenangan.
“Veteran UMNO menyeru kepimpinan BN dan PH negeri supaya dengan segera membuat keputusan tentang pembahagian kerusi ini dengan mengetepikan cerita lama.
“Kita sekarang berkawan. Kawan kena tolong kawan. Jangan tikam belakang,” jelasnya.
Mustapha juga meminta semua pihak dalam BN dan PH menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi lawan dan bermusuhan sekiranya mahu memenangi PRN. – MalaysiaGazette















