Lokman DAP
Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker secara sinis mengucapkan tahniah kepada DAP kerana kini mempunyai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai jurucakap dan pembela parti itu.

Beliau membuat sindiran itu ekoran kenyataan Lokman baru-baru ini yang menyifatkan MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’ dalam Barisan Nasional (BN).

Lian Ker mengingatkan Lokman agar jangan bersikap biadab seperti DAP yang pernah menggelarkan MCA sebagai ‘anjing UMNO’.

“Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Lokman bahawa UMNO seperti memikul biawak hidup komponennya seperti MCA dan MIC termasuk parti-parti yang tidak menyumbang kepada kemenangan BN sejak kebelakangan ini.

Lian Ker menambah, Lokman tidak perlu meraih populariti dirinya yang semakin luntur dengan menyerang parti-parti komponen BN.

Beliau memberitahu, selama berada dalam keluarga BN, MCA terus mengamalkan politik kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian.

“Adakah Lokman mahu MCA menjadi parti ekstremis dan cauvinis demi meraih undi, sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?” soalnya.

Lian Ker berkata, pemimpin-pemimpin BN secara kolektif harus menerima tiga hakikat politik bahawa kekalahan gabungan parti politik itu adalah disebabkan oleh tindak-tanduk dan kenyataan pemimpin-pemimpin DAP.

Menurut beliau, hakikat politik pertama adalah DAP sering memainkan sentimen politik kesamarataan dan penghapusan hak keistimewaan bumiputera untuk meraih undi bukan Melayu sehingga menyebabkan BN kehilangan sokongan daripada kumpulan berkenaan.

“Hakikat politik kedua adalah politik dalaman UMNO telah menyebabkan perpecahan sokongan politik pengundi Melayu antara UMNO dan Pas kepada UMNO, Pas, PKR, Bersatu, Warisan, Pejuang dan sebagainya yang kesemuanya diasaskan oleh bekas pemimpin UMNO sendiri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan lain-lain.

“Personaliti-personaliti UMNO ini juga telah diperalatkan dan ditunggang oleh DAP sehinggalah DAP bukan sahaja berjaya memonopoli undi Cina dan India, tetapi juga menokok tambah sokongan pengundi Melayu yang merupakan penyokong tegar dan tradisi BN,” jelasnya.

Lian Ker berkata, hakikat politik ketiga adalah DAP memainkan naratif bahawa UMNO adalah parti ‘penyamun dan perompak’, maka rakyat harus ubah atas laungan ‘Asalkan Bukan UMNO’ atau singkatannya, ABU.

“UMNO dan BN telah bertindak balas dengan resolusi ‘No DAP’,” katanya.

Beliau memberitahu, DAP sering menuduh MCA dan MIC gagal mempertahankan atau membela kaum Cina dan India.

Malah, katanya, DAP juga sudah lama menanam doktrin bahawa MCA dan MIC ‘tunduk’ kepada UMNO.

“Contohnya, gagal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), gagal samaratakan Cina, India dan lain-lain dengan bumiputera,” jelasnya. – MalaysiaGazette