Angel Alfredo Vera (kanan).

KUALA LUMPUR – Kelantan FC mengumumkan Angel Alfredo Vera sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu bagi mengendalikan pasukan tersebut dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Lebih menarik, Vera dikatakan fasih berbahasa Melayu yang mana menjadi salah satu faktor untuk meningkatkan komunikasi terutama bersama pemain.

Dia sebelum ini mempelajari bahasa Indonesia kerana berpengalaman mengendalikan beberapa kelab negara jiran itu sejak 2013 termasuk Persipura Jayapura, Persebaya Surabaya, Persiba Balikpapan dan terakhir Persita Tangerang.

Ketika mengendali Persipura, Vera turut mengemudi pasukan itu menjuarai liga Indonesia pada 2016.

Ini kali ketiga Kelantan menukar ketua jurulatih selepas mereka mengambil pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon Sik dan kemudian Frank Bernhardt dari Jerman, sekali gus menjadikan mereka pasukan yang paling banyak menukar ketua jurulatih pada musim ini.

Ketika di bawah bimbingan Choi Mun-sik, TRW Kelantan hanya mengumpulkan empat mata dan menduduki tangga ke-10 dalam kedudukan Liga Super 2023 selepas mengharungi lima perlawanan.

Prestasi pasukan itu ketika di bawah Bernhardt juga tidak berubah apabila mencatat  kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super sehingga membuatkan para penyokong hilang sabar.

Ujian pertama Vera adalah pertembungan dengan Sri Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pasukan itu juga dilaporkan kehilangan beberapa pemain utama yang telah menamatkan kontrak lebih awal kerana isu tunggakan gaji. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast