Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Selepas 41 tahun bersama DAP, Ronnie Liu Tian Khiew memutuskan untuk meninggalkan parti itu bermula esok.

ADUN Sungai Pelek itu juga meletakkan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

Menerusi surat permohonan penamatan jawatan yang dikongsi di laman Facebook, beliau berkata keputusan berkenaan dibuat selepas melihat banyak perkara berlaku di luar jangkaannya.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan secara terperinci alasan berkenaan.

“Saya melibat diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat Sekolah Menengah Dan telah menjadi ahli DAP pada tahun 1982.

“Banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP berkuat kuasa mulai 24 Jun 2023,” katanya menerusi surat yang dikemukakan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada parti berkenaan kerana diberikan kepercayaan menggalas jawatan tersebut.

“Segala peristiwa manis pahit, pengalaman suka duka dan pengetahuan yang dihulur oleh Parti kepada saya selama 41 tahun saya berkhidmat dan berjuang bersama DAP Malaysia.

“Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisma demokratik dan kontfcsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’.” tulisnya lagi.

Tempoh jawatan Ronnie sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sepatutnya tamat pada tahun 2025. – MalaysiaGazette