Zulinda menjadi wanita pertama dilantik sebagai Laksamana Pertama Maritim.- Foto FB Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Ibu kepada empat cahaya mata, Kepten Maritim Zulinda Ramly menjadi pegawai kanan wanita pertama yang dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Agensi tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, Zulinda, 46, merupakan antara sembilan pegawai dinaikkan pangkat dalam satu majlis pemakaian pangkat hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) selaku pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Kejayaan Zulinda antara lain mengetuai pelbagai operasi khas melibatkan jenayah rentas sempadan serta mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) untuk negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.

“Beliau juga bertindak sebagai Ketua Gugus Tugas Operasi Benteng (KGT 24.1) dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa pandemik Covid-19.

“Ibu kepada empat cahaya mata ini merupakan bekas Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum ditukar lantik ke dalam Maritim Malaysia pada 15 Oktober 2008 dan memiliki Diploma Pengurusan Teknologi (Pengangkutan Pertahanan Maritim) dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1998,” katanya.

Turut dinaikkan pangkat Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah daripada Laksamana Pertama Maritim kepada Laksamana Muda Maritim.

Beliau ditempatkan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya.

Pengarah Bahagian Operasi Udara, Laksamana Pertama Maritim Syed Islam Shahajam dinaikkan pangkat daripada Kepten Maritim kepada Laksamana Pertama Maritim.

Pengarah Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Laksamana Pertama Maritim R. Vincent dinaikkan pangkat daripada Kepten Maritim kepada Laksamana Pertama Maritim.

Laksamana Pertama Maritim Hamizan Harun daripada Kepten Maritim akan ditempatkan sebagai Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Ibu Pejabat.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Laksamana Pertama Maritim Abd Razak Mohamed daripada Kepten Maritim bakal ditempatkan menerajui Maritim Negeri Sabah dan Labuan sebagai Pengarah Maritim Negeri.

Manakala tiga lagi merupakan pegawai Penerbang Maritim yang dinaikkan pangkat daripada Leftenan Komander Maritim kepada Komander Maritim.-MalaysiaGazette