Warga bomba menumbangkan lembu pada Program Ibadah Korban KPKT Bersama Warga Bomba 1443H/ 2022M di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14. Foto MUHD NA'IM, 12 JULAI 2022.

Haiwan dalam ibadat korban

Ibadah korban sangat sinonim dengan interaksi manusia dengan haiwan, khususnya haiwan ternakan. Ibadat korban merupakan sembelihan haiwan seperti unta, lembu dan kambing yang dilakukan pada hari raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik pada 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Terdapat pelbagai salah tanggapan terhadap ibadat korban ini dengan mengatakannya sebagai satu penyeksaan dan tindakan kekejaman ke atas haiwan. Hakikatnya, Islam tidak pernah mengajar umatnya bertindak kejam dan menyeksa haiwan. Malah, Islam merupakan agama yang meletakkan kedudukan haiwan sesuai pada tempatnya.

Tanpa menafikan manusia merupakan sebaik-baik makhluk menurut konsep “ahsani taqwim” seperti yang termaktub dalam surah al-Tin ayat 4. Namun, Islam juga sebenarnya meletakkan haiwan pada kedudukan yang sama dengan manusia kerana kedua-dua makhluk ini adalah makhluk ciptaan Allah yang digelar “ummah” sepertimana yang dijelaskan dalam surah al-An’am ayat 38. Malah, apabila manusia tidak menggunakan akal dengan sebaiknya, kedudukan manusia boleh jatuh lebih rendah atau “balhum adhal” dari haiwan ternakan seperti yang tertulis dalam surah al-A’raf ayat 179.

Ibadah korban disyariatkan, antara lain, untuk memperingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan Allah untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s . Allah berfirman dalam surah al-Saffat ayat 102: “Wahai anak kesayanganku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihimu maka fikirkanlah apa pandanganmu. Anaknya menjawab; “Wahai ayah jalankan apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar.” Antara hikmah peristiwa ini sebenarnya untuk memperkuat lagi hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia terhadap haiwan.

Etika Islam dalam sembelihan haiwan

Berdasarkan penyelidikan, terdapat lebih 60 hadis Nabi SAW yang boleh dijadikan garispanduan etika terhadap haiwan. Namun, secara rangkumannya, terdapat lima prinsip etika haiwan yang utama dapat dihasilkan dari analisis hadis-hadis tersebut.

Pertama: Prinsip kelembutan dan kebajikan terhadap haiwan.

Kedua: Prinsip penjagaan haiwan dalam kurungan.

Ketiga: Prinsip penyediaan makanan yang mencukupi.

Keempat: Prinsip pencegahan penyeksaan dan kekejaman.

Kelima: Prinsip penyediaan rawatan dari kesakitan.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini, jelas menunjukkan bahawa Islam sentiasa mengambil berat tentang kebajikan haiwan. Malah, untuk tujuan sembelihan, Islam telah menggariskan panduan etika yang komprehensif bagi memastikan kesakitan yang dialami oleh haiwan adalah minimum. Islam sentiasa menganjurkan kaedah bagi memperbaiki cara menyembelih haiwan. Sekurang-kurangnya terdapat sepuluh garis panduan etika Islam dalam penyembelihan haiwan korban:

Pertama: Seseorang hendaklah berniat menyembelih untuk tujuan dimakan bukan sekadar mahu membunuhnya semata-mata. Sekiranya seseorang memukul binatang dengan alat tajam lalu terkena tempat sembelihan dengan niat membunuh bukan menyembelih, maka binatang itu tidak halal dimakan.

Kedua: Seseorang itu hendaklah menyebut nama Allah (tasmiyah) sewaktu menyembelih, disunatkan menyebut “bismillahi wallahu akbar”. Amalan ini menunjukkan penyembelihan
dilakukan kerana Allah dan bukan kerana nafsu.

Ketiga: Penyembelih dan haiwan sembelihan disunatkan menghadap kiblat kerana korban adalah ibadat.

Keempat: Disunatkan juga melakukan sembelihan pada waktu siang kerana ditakuti berlaku kesilapan sekiranya dilakukan pada waktu malam kerana kegelapan.

Kelima: Kedudukan haiwan ketika disembelih mestilah dalam keadaan yang sebaiknya. Disunatkan juga untuk membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan lembut dan kepalanya diangkat sedikit. Harus juga dibaringkan di rusuk kanan sekiranya sukar untuk melakukan penyembelihan.

Keenam: Penyembelih yang kekok menyembelih sunat digantikan dengan orang yang lebih mahir agar tidak menyakiti binatang sembelihan.

Ketujuh: Urat-urat leher binatang buruan juga hendaklah diputuskan segera. Makruh memutuskan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Kelapan: Sembelihan hendaklah tidak sampai ke saraf tunjang. Makruh memutuskan kepala daripada badannya yang akan menyeksa dan menambah kesakitan yang tidak diperlukan.

Kesembilan: Pisau hendaklah diasah bagi melancarkan sembelihan sebelum membaringkan binatang sembelihan dan tidak diasah di hadapan binatang tersebut kerana ia mengetahui alat-alat
yang boleh mencederakannya.

Kesepuluh: Penyembelih disunatkan berlembut terhadap binatang sembelihan dengan tidak memukul, ditarik kaki dan dipijak kerana hanya akan menambah penderitaannya.

Memahami hikmah haiwan diciptakan

Di dalam al-Quran,terdapat banyak ayat berkaitan haiwan malah terdapat pelbagai surah dinamakan dengan nama haiwan seperti al-Baqarah (sapi), al-Nahl (lebah), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Naml (semut). Daripada ayat-ayat dan surah-surah tersebut, dapatlah difahami bahawa haiwan adalah makhluk Tuhan yang dicipta dengan pelbagai manfaat dan hikmah kepada manusia sama ada secara fizikal mahupun spiritual. Secara fizikal, haiwan diciptakan untuk dijadikan sumber makanan dan kemudahan pengangkutan kepada manusia. Secara spiritual pula, haiwan adalah makhluk yang beribadat dan berzikir kepada Tuhan.

Hikmah penciptaan haiwan ini menunjukkan Islam sememangnya sebuah agama yang seimbang secara fizikal mahupun spiritual dalam segenap aspek kehidupan termasuklah berkaitan interaksi manusia dengan haiwan. Justeru, janganlah kita menjadi terlalu ekstrim terhadap haiwan.

Sama ada terlalu ekstrem menggunakan perkhidmatan dan anggota haiwan sehingga melakukan penyeksaan atau terlalu ekstrim menyayangi haiwan sehingga haiwan ternakan yang halal dimakan pula ditegah dari dimakan. Justeru, pendekatan bersederhana dan seimbang berasaskan panduan agama sentiasa menjadi pendekatan terbaik dalam semua perkara termasuklah dalam inetraksi manusia dengan sekaligus menjadikan kehidupan manusia dan alam lebih sejahtera.

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar
Pensyarah Kanan dalam bidang sosio-perundangan Islam di Program Sarjana Sains Kelestarian, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya