Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan dua laluan kontra di Jalan Ampang dan Jalan Maharajalela di sini, mulai Julai ini.

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Sulaiman Mohamed berkata, untuk Jalan Ampang, ia membabitkan laluan dari persimpangan Jalan Rhu sehingga persimpangan Jalan Tun Razak.

Katanya, laluan kontra di kawasan itu bertujuan bagi menyediakan satu laluan khas bas pada waktu puncak dari pukul 6 hingga 9 pagi yang akan membantu pergerakan bas supaya lebih efisien dan menepati waktu ketibaan di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Sebagai laluan alternatif terdapat pusingan-U dari arah pusat bandar ke Ampang di persimpangan Jalan Jelatek dan di bawah jejambat persimpangan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Bagi arah Ampang menuju ke pusat bandar, pusingan-U dibuka di persimpangan Jalan Jelatek dan persimpangan Jalan Tun Razak,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, Jalan Maharajalela pula melibatkan penambahan jarak bukaan laluan kontra sedia ada di jalan berkenaan hingga Jalan Cheras (waktu puncak petang).

Tambah beliau, sebelum ini, laluan kontra di kawasan Jalan Maharajalela menuju ke Jalan Cheras bermula di laluan masuk Jalan Cheras.

Kini, laluan masuk bagi kawasan itu bermula di Jalan Maharajalela (berdekatan Sekolah Menengan Tsun Jin).

Penambahan jarak laluan kontra itu katanya, bagi membolehkan kenderaan masuk ke laluan kontra lebih awal dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan di sekitar Jalan Cheras.

Menurutnya lagi, dengan pelaksanaan awalan dua laluan kontra itu, ia diharap dapat mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit.

“Tambahan lagi, ia juga memberi keutamaan laluan kepada kenderaan pengangkutan awam sekali gus dapat meningkatkan tahap kebolehpercayaan pengguna jalan raya terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan di ibu kota,” ujarnya. – MalaysiaGazette