Gambar hiasan

KUANTAN – Sebanyak 550 kes demam denggi telah dilaporkan di negeri ini bermula 1 Januari sehingga 17 Jun 2023 berbanding 239 kes pada tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 311 kes bersamaan 130 peratus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) Datuk Nor Azimi Yunus berkata, walau bagaimanapun tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan di negeri Pahang sehingga kini.

Menurutnya, sehingga 17 Jun lalu, sebanyak 262,155 buah premis telah diperiksa dan 167,476 premis diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik.

”Daerah Kuantan melaporkan kes tertinggi iaitu 320 kes (58.2%) diikuti daerah Temerloh (41 kes ,7.5%), Bera (36 kes, 6.5%), Raub (35 kes, 6.4%), Bentong (28 kes, 5.1%), Maran (22 kes, 4.0%), Rompin (22 kes, 4.0%), Lipis (16 kes, 2.9%), Pekan (14 kes, 2.5%), Jerantut (11 kes, 2.0%) dan Cameron Highlands (5 kes, 0.9%).

”Terdapat 41 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di negeri Pahang, peningkatan sebanyak 12 lokaliti (242%) berbanding 29 lokaliti pada tahun 2022.

”Sebanyak 39 lokaliti wabak berlaku di daerah Kuantan dan masing-masing 1 lokaliti di daerah Raub dan Temerloh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terkini katanya, sebanyak 39 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan wabak dan hanya dua lokaliti wabak sahaja masih aktif iaitu di Taman Cenderawasih Indah, Kuantan dan Taman Pandan Perdana 1, Kuantan.

Sebanyak 2,043 premis ditemui pembiakan aedes dan daripada jumlah tersebut, 476 premis telah diberi kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000, dengan nilaian kompaun sebanyak RM 238,000.

Manakala sebanyak 384 notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama telah dikeluarkan kepada penduduk yang mempunyai tempat-tempat berpotensi pembiakan jentik-jentik Aedes dan sebanyak 344 (90%) premis telah dijalankan tindakan susulan oleh penguatkuasa. – MalaysiaGazette