Gambar hiasan.

CHERAS – Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah teres di Taman Seri Rampai, Wangsa Maju Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas penduduk setempat melaporkan mengenai kejadian tersebut petang semalam.

Beliau berkata susulan laporan itu, polis telah menahan ibu dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 35 dan 37 tahun kira-kira 8 malam.

“Pemeriksaan pada badan kanak-kanak itu menemukan kesan lebam di kaki dan pipi serta kesan rotan… Kita percaya kejadian dera ini masih baharu dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

“Mangsa merupakan anak tunggal dan kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Taman Angkat Amanita di Taman Bukit Cheras di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan suspek lelaki itu mendakwa mangsa nakal.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine manakala wanita yang juga ibu mangsa negatif dadah.

Mohd Shuhaily berkata, pasangan suami isteri yang bekerja sebagai penjual nasi lemak itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast