SHAH ALAM – Ahli-ahli Pas diingatakan suapaya jangan takut untuk mengubah undi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kerana sifat pendirian politik sentiasa berubah.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rakyat bebas memilih wakil rakyat namun pilihan yang dibuat perlu berlandaskan kepada prestasi yang memberi kebaikan kepada mereka.
“Dulu saya sebagai Timbalan Presiden Pas pada waktu itu kami menganut iaitu pangkah selain daripada Pas adalah berdosa. Pas parti akidah. Tetapi kemudian berkawan dengan UMNO, wujudkan Muafakat Nasional (MN) berkawan dengan UMNO adalah satu anugerah Allah.
“Dulu pas kata DAP komunis, tapi 2008, 2013 tahalufsiasi dengan DAP ertinya DAP baik pergi Teluk Intan Presiden Pas komen untuk calon DAP. Itu ertinya akidah politik ini berubah.
“Sebab itu ahli-ahli Pas yang dengar malam ini jangan takut untuk ubah undi PRN akan datang undi Kerajaan Perpaduan pun tak mengapa, tolak PN pun tidak mengapa,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.
Selain itu beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) cuba memainkan sentimen perkauman bagi mempengaruhi pengundi baru.
Bagaimanapun Mat Sabu yakin pengundi muda akan melihat peranan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mengetuai Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan agenda rakyat.
“Rakyat melihat, seperti sekarang bila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri orang melihat adakah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dibiarkan berleluasa? Ada tak arahan adakah pelajar muslim diarahkan memakai skirt?
“Inilah ancaman yang mereka buat dan rakyat terima. Rakyat lupa, masa mereka memerintah judi kekerapan cabutan undi daripada lapan kali ke 22. Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan) menurunkan cabutan judi tiap-tiap bulan. Tapi PN memerintah naikkan. Tapi rakyat lupa semua itu kerana Islam terancam.
“Inilah propaganda mereka yang menarik perhatian anak muda, pengundi baru.
“Tapi kita yakin ombak itu tidak lama sebab orang melihat, Anwar melancarkan agenda-agenda yang pro-rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















