Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia tampil membuat sidang media berkaitan isu-isu semasa kesihatan di negara ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) melahirkan kebimbangan berlaku kebanjiran ‘doktor palsu’ jika tiada akta khas atau prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal pengeluaran preskripsi secara dalam talian.

Presidennya, Dr Boi Saidi Abd Razak berkata, kini tiada SOP atau akta berkaitan pengeluaran preskripsi yang merupakan dokumen rasmi untuk pembekalan ubat kepada pesakit.

“Perdim sokong usaha KKM (Kementerian Kesihatan) memkenalkan klinik secara maya yang objektifnya untuk kepentingan rakyat tetapi kita mohon supaya kerajaan perhalusi juga pelaksanaan, SOP dan peraturan khas bagi mengawal pengeluaran preskripsi oleh seorang doktor kepada pesakitnya.

“Akta ini perlu bagi memastikan cadangan ini tidak disalah guna untuk tujuan perniagaan. Sebagai contoh, adalah tidak munasabah seorang doktor keluarkan 1,000 preskripsi sehari gunakan platform maya.

“Konsultasi secara maya tidak ideal dalam pengendalian pesakit, contoh ketara apabila doktor boleh lepas pandang tanda-tanda fizikal penyakit,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KKM bercadang untuk memperluaskan sistem klinik maya sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan di klinik kerajaan serta swasta.

Menurut Garis Panduan Pelaksanaan Klinik Virtual yang dikeluarkan KKM, sistem ini merupakan satu perkhidmatan kesihatan secara virtual, langsung live dan interaktif yang dirancang me­rangkumi khidmat nasihat doktor, pendidikan kesihatan dan pelan rawatan antara anggota kesihatan dan pelanggan.

Menurut Boi Saidi, sidang video mungkin boleh digunakan selepas pertemuan semuka antara doktor dan pesakit.

Berikutan itu, beliau berharap perbincangan lanjut dilakukan antara pemegang taruh kesihatan sebelum perkhidmatan maya itu diperluaskan. – MalaysiaGazette