JOHOR BAHRU – Pembinaan Hospital Pasir Gudang akan dapat disiapkan lebih awal daripada perancangan awal dan dijangka memulakan operasi pada 2025.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja pembinaan hospital itu kini mencapai tahap 40.47 peratus setakat pertengahan bulan lalu berbanding 27.96 peratus pada jadual asal.

“Menerusi 12.51 peratus kemajuan pembinaan hospital ini, kita menjangkakan ianya boleh disiapkan awal dua bulan berbanding sasaran pada November 2024.

“Pembinaan dengan peratusan 40.47 peratus ke hadapan dari jadual asal iaitu awal 105 hari, saya yakin hospital ini boleh memulakan operasinya pada awal 2025,” katanya selepas menyerahkan sumbangan 300 meja pesakit dan loker berharga RM300,000 kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini,hari ini.

Pembangunan Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam bermula pada September 2020, namun tergendala seketika kerana peralihan kerajaan negeri sebelum pembinaannya disambung semula.

Hospital berkenaan akan dilengkapi 304 katil, lapan bilik bedah dan rawatan pesakit luar (65 bilik konsultasi).

Selain itu, juga akan dilengkapi pusat rawatan harian, 30 kerusi Dialisis, farmasi pandu Lalu, 16 bilik bersalin, 34 kuarters Jururawat dan hampir 1,000 ruang parkir kereta.

Tian Soon berkata, sekiranya Hospital Pasir Gudang dapat disiapkan awal, peralatan dan perkakasan perubatan dapat dimasukkan sebelum akhir tahun depan.

Jelasnya, pembangunan Hospital Pasir Gudang penting bagi menampung kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI). – MalayusiaGazette