Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Pengundi di Selangor tidak akan memilih Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, pengundi di Selangor tidak mahu kemuduran berlaku di negeri itu seperti di negeri yang ditadbir PN.

Tambahnya, PN tidak lagi boleh mengharapkan gelombang hijau untuk berulang seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Dengan rekod kemajuan negeri yang diperintah oleh PN seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah, saya lihat pengundi Selangor tidak tertarik untuk mengundi PN. Mereka tidak mahu mundur.

“Jika PN masih mengharapkan kepada gelombang hijau untuk menang, sedarlah gelombang itu telah menyusut teruk.

“Pengundi Selangor menolak ekstremisme dan politik ketaksuban dan tidak boleh lagi diracuni dengan sentimen Melayu-Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohamad Agus, pengundi Selangor sedar negeri mereka adalah kubu terpenting Kerajaan Perpaduan yang perlu dipertahankan.

Rakyat Selangor menurut beliau, sedar negeri itu mempunyai Menteri Besar Selangor yang berwibawa.

“Mereka sedar pemimpin yang mempunyai rekod baik dan cemerlang mentadbir Selangor ialah Amiruddin Shari, MB sekarang—tiada korupsi, seleweng, atau salah guna kuasa yang merugikan negeri.

“Bagi pengundi Selangor, pesan saya satu: Mari kita bersatu hati dalam PRN ini untuk memperkukuhkan kerajaan perpaduan. Inilah kerajaan yang dapat membawa kestabilan dan kemakmuran kepada masa depan negara,” kata Mohamad Agus.

Beliau turut menolak dakwaan pemimpin PN kononnya pengundi Cina telah beralih arah.

“Akhirnya, PN menyatakan masyarakat Cina sudah beralih sokongan kerana tidak berpuas hati dengan DAP.

“PN tidak faham budaya politik orang Cina. Dengan sikap anti-Cina orang PN, jikapun mereka menolak PH-BN, mereka lebih sanggup tidak keluar mengundi daripada mengundi PN,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pemimpin PN kononnya parti itu berkeyakinan untuk merampas Selangor dengan menang sekurang-kurangnya 33 daripada 50 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette