PUTRAJAYA – Tony Pua masih penasihat dasar Anthony Loke Siew Fook dan tugas beliau hanya menasihati Setiausaha Agung DAP itu tiada kaitan dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Loke berkata, setakat ini, Tony Pua boleh menasihati beliau dan terpulang kepada Ahli Parlimen Seremban itu untuk mengikut nasihat itu atau sebaliknya.
“Penasihat Dasar (DAP) itu bukan jawatan rasmi dalam parti, nama pun penasihat.
“Dalam Perlembagaan parti tiada jawatan ini pun, peranannya hanya menasihati (saya) sahaja.
“Jadi terpulang kepada saya nak dapat nasihat dia atau tidak,” katanya pada sidang media di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Pelaut Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran Jabatan Laut Malaysia.
Sebelum ini, Tony Pua dilantik Loke sebagai penasihat dasar kepada Setiausaha Agung DAP sejak Mei 2022.
Perkara itu diumumkan Loke sendiri tahun lalu.
Isu timbul susulan kenyataan Tony Pua bahawa Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan ‘korup’.
Loke dalam satu kenyataan semalam menegaskan, kenyataan Tony Pua itu di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan DAP – MalaysiaGazette















