Panglima Tentera Udara,  Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM rasa dukacita atas kejadian yang berlaku.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi meninggal dunia dalam insiden kemalangan semasa menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) Siri 78/23 di Gemas, Negeri Sembilan.

Allahyarham Koperal Udara, Syuib Bidin, 33, yang merupakan jurulatih mengalami kecederaan parah dalam latihan di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin itu.

Menurut Markas Tentera Udara, mangsa meninggal dunia pada pukul 5.45 petang semalam merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) Pangkalan Udara Sendayan.

“Anggota disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah yang dialami,” katanya dalam kenyataan.

Selain Syuib, dua lagi terlibat dalam kejadian yang berlaku pada lebih kurang pukul 12.10 tengah hari semalam.

Penuntut Laskar Udara I, Mohd Iqmal Masdi, 22, berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa mengalami kecederaan parah akibat letupan bom lempar semasa proses latihan sedang dilaksanakan.

Mohd Iqmal merupakan penuntut bagi KPP Kelas 1 Siri 78/23 di INSTAR, Pangkalan Udara Sendayan.

Seorang lagi mangsa, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, berasal dari Kluang, Johor dalam pemantauan rapi di Hospital Segamat.

Mangsa merupakan jurulatih di INSTAR, Pangkalan Udara Sendayan.

“Waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

TUDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, katanya.

TUDM meminta agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia selesai.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara,  Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM rasa dukacita atas kejadian yang berlaku.

Mereka dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada TUDM.

“Didoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam kalangan hamba yang beriman,” katanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota TUDM maut bom lempar meletup, 2 jurulatih cedera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast