Tertuduh, Sheila Sharon a/p Steven Kumar atau dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' hadir ke mahkamah didakwa atas pertuduhan kes ugutan jenayah dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam di Mahkamah Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2023.

 

KUALA LUMPUR – Inspektor percubaan, Sheila Sharon Steven Kumar yang dihadapkan dan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, Gombak pada hari ini telah digantung kerja.

Pengarah abatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Azri Ahmad berkata, perintah tahan kerja ke atas pegawai berkenaan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 78 Akta Polis 1967.

“Sehubungan itu, segala kuasa-kuasa, hak dan keistimewaannya sebagai seorag pegawai polis adalah digantung sehingga diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT),” kata beliau dalam satu kenyataan khusus yang dikeluarkan berkaitan kes tersebut petang hari ini.

Artikel berkaitan: Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah rendahkan jawatan anggota polis

Sheila, 35, telah didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di bawah tiga pertuduhan jenayah iaitu dua pendakwaan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal di sebuah kedai makan setelah kertas pertuduhannya dibacakan.

Mengikut fakta pertuduhan, Sheila didakwa telah menyebut berkenaan pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan penama tersebut.

Dalam satu lagi pertuduhan di mahkamah lain, Sheila telah didakwa di hadapan Majistret Chai Guan Hock atas dua lagi pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa dan menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk , botak dan badak sumbu”.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian telah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan itu dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.-MalaysiaGazette

Belum terima surat gantung tugas – Inspektor Sheila