Liang Shi. foto Twitter

BEIJING – Seorang jutawan China gagal untuk kali ke-27 dalam peperiksaan kemasukan universiti di negara ini.

Liang Shi yang berusia 56 tahun hanya memperoleh 424 daripada 750 mata.

Markahnya kurang 34 mata daripada jumlah yang diperlukan untuk memohon mana-mana universiti di China.

Hampir 13 juta pelajar menduduki peperiksaan tahun ini.

Liang telah mendapat liputan media tempatan sebelum ini dalam percubaannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Setelah menghadiri peperiksaan berpuluh kali sejak 1983, Liang akui dia kecewa dengan keputusannya tahun ini.

“Saya pernah berkata bahawa saya hanya tidak percaya yang saya tidak akan berjaya’, tetapi kini saya ‘koyak’,” kata lelaki yang menetap di Sichuan itu kepada China Tianmu News.

Gaokao, peperiksaan yang terkenal sukar, menguji pelajar lepasan sekolah menengah dalam bahasa Cina, matematik dan bahasa Inggeris serta satu lagi subjek sains atau kemanusiaan pilihan mereka.

Data kerajaan China menunjukkan hanya 41.6% daripada calon peperiksaan diterima masuk ke universiti atau kolej pada 2021.

Gaokao dilihat sebagai peluang keemasan terutamanya bagi pelajar daripada keluarga yang miskin, yang mana ijazah dianggap penting untuk pekerjaan baik.

Liang, berkata, beliau sentiasa bermimpi untuk diterima masuk ke universiti berprestij dan menjadi seorang “intelek”.

Selepas gagal percubaan pertamanya pada tahun 1983 ketika dia berusia 16 tahun, dia bekerja dengan pekerjaan yang berbeza tetapi terus memohon setiap tahun sehingga 1992, apabila dia dianggap terlalu tua.

Selepas kilang yang dia bekerja muflis pada tahun yang sama, Liang memulakan perniagaan borong kayu pada pertengahan 1990-an.

Dia sebenarnya seorang ahli perniagaan yang jauh lebih berjaya daripada seorang pelajar apabila meraih satu juta yuan dalam masa satu tahun dan kemudian memulakan perniagaan bahan binaan.

Tetapi pada tahun 2001, apabila kerajaan China mengeluarkan had umur untuk Gaokao, dia mengambil semula peperiksaan itu.

Dia hanya ponteng untuk mengambil peperiksaan kerana kesihatan yang kurang baik atau jadual kerja yang padat. – Agensi