Lim Kit Siang.-foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR- Parti MUDA dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru untuk bergerak secara sendirian dalam pilihan raya (PRN) di enam negeri  tidak lama lagi.

Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu perlu meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dalam PRN.

“MUDA tidak seharusnya terburu-buru dan harus bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri pada Ogos.

“Kepimpinan MUDA harus mempertimbangkan semula keputusannya untuk pergi secara solo dalam enam pilihan raya negeri,” kata Kit Siang dalam blognya hari ini.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, Malaysia berhadapan dengan peluang terakhir untuk menetapkan semula dan kembali kepada prinsip asal pembinaan negara Malaysia yang majmuk oleh bapa pengasas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Beliau berkata, keputusan enam PRN bermaksud sama ada Malaysia akan menamatkan kemerosotan negara dalam beberapa dekad yang lalu dan bangkit semula untuk menjadi juara dunia dalam pelbagai bidang atau kembali ke jalan yang gagal, berpecah belah dan menjadi negara yang korup.

“Malaysia bukan sahaja harus menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh teladan dunia untuk dialog, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, antara budaya dan antara tamadun.

“Adakah Perikatan Nasional, Pas dan Bersatu bersetuju dengan misi nasional ini?” soalnya.

Semalam Syed Saddiq mengumumkan, MUDA akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi secara sendirian.

Beliau berkata, MUDA akan memperkenalkan politik baharu kepada pengundi Malaysia yang mengutamakan isu rakyat dan menyahpusat pentadbiran kerajaan.

“Kita tidak mahu seperti sekarang yang mana Perdana Menteri mengawal Kementerian Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri menguasai Kementerian Wilayah Persekutuan, kita harus pulangkan kuasa itu kepada rakyat,” kata Syed Saddiq.

Keputusan tersebut sekali gus bermakna MUDA akan berhadapan dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disokong penubuhannya oleh MUDA ketika ini.

Enam negeri akan mengadakan pilihan raya iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.-MalaysiaGazette