Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Pimpinan UMNO Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Belanda yang memihak kepada kerajaan Malaysia sebagai satu kemenangan besar negara dalam menafikan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Sulu.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan itu secara tidak langsung Kerajaan Malaysia berjaya mempertahan hak, harta serta kedaulatan negara.

Kata beliau, keputusan itu boleh menjadi pengakhir kepada segala usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merompak dan mengganggu-gugat kedulatan negara ini.

“Ini juga membuktikan dakwaan kumpulan tersebut tidak berasas, gagal dan tidak boleh dilayan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kemenangan itu lebih dirasai oleh rakyat Sabah yang selama ini dihantui dengan tuntutan berkenaan sehingga ada pihak mendakwa kes itu telah dipolitikkan dan akan panas apabila pilihan raya berlaku.

Katanya, kejayaan itu sudah tentu merupakan hasil kerjasama antara pihak terlibat yang berusaha serta bersatu hati dalam mempertahan hak, harta dan kedaulatan Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, ketika persidangan Dewan Rakyat, dirinya sering kali membangkitkan isu itu dan berharap kerajaan komited menangani isu yang sudah sekian lama berlarutan dan hari ini keseriusan kerajaan menanganinya berakhir dengan kejayaan.

Pada 6 Jun lalu, Malaysia melakar sejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh penimbang tara antarabangsa Dr. Gonzalo Stampa dan memutuskan peguam itu telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya. – MalaysiaGazette