PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan sebuah jawatan kuasa berpusat bagi memantau isu tanah adat di Sabah.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, isu berkaitan tanah adat Sabah itu telah banyak mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat di negeri tersebut.

Susulan daripada itu, cadangan pengwujudan jawatan kuasa itu penting atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Malaysia Madani kepada Sabah.

“MHO amat berharap Ketua Menteri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur serta Perdana Menteri dapat memberi kerjasama baik dan memberikan pertimbangan serta budi bicara dalam mencari penyelesaian segera bagi menyelesaikan kemelut itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri yang turut dihadiri lebih 20 penduduk Sabah, hari ini.

Hishamuddin berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat dakwaan individu atau syarikat cuba mengambil kesempatan terhadap kesusahan, kesulitan serta kedaifan yang dihadapi oleh penduduk asal kampung.

“Kita telah kemuka cadangan bagi mengatasi isu itu termasuk memberi geran tanah individu kepada penduduk asal bagi menggantikan geran komunal yang diguna pakai di bawah Artikel 76 Ordinan Tanah Sabah,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Penduduk Sabah minta PM campur tangan isu ‘rampasan’ tanah adat