al-Quran Sweden
Salwan Momika memegang senaskhah al-Quran sebelum membakarnya di luar Masjid Jamek Stockholm, Sweden, semalam. - Gambar: Tangkap layar video tular dalam media sosial

STOCKHOLM – Perbuatan biadab seorang lelaki membakar al-Quran di luar Masjid Jamek Stockholm, Sweden pada Hari Raya Aidiladha semalam telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Memetik laporan Al Jazeera, Salwan Momika yang merupakan pelarian dari Iraq dikatakan melakukan perbuatan itu untuk mendesak kerajaan Sweden mengharamkan al-Quran di negara berkenaan.

Sebelum membakar kitab suci itu, Salwan yang dikatakan berfahaman ateis meletakkan sekeping bakon (dendeng babi) ke dalam al-Quran dan kemudian memijaknya.

Kemudian, dia mengoyakkan naskhah al-Quran tersebut dan membakarnya sambil seorang lagi lelaki berucap kepada orang ramai di lokasi itu dengan menggunakan megafon.

Seorang lelaki ditahan polis kerana cuba melepasi kawalan keselamatan untuk merempuh ke arah Salwan sambil memegang tiga ketul batu di tangannya.

Selain itu, tiada insiden tidak diingini berlaku dan beberapa orang Islam yang berada di situ mengecam perbuatan Salwan yang dikatakan cuba menggugat keharmonian masyarakat berbilang agama di Sweden.

Difahamkan, protes yang dianjurkan Salwan itu mendapat kebenaran daripada polis Sweden.

Pengarah dan imam masjid berkenaan, Mahmoud Khalfi menyuarakan kekesalan atas keputusan polis membenarkan protes itu.

Bagaimanapun, polis Sweden kemudian memaklumkan bahawa mereka sedang menyiasat salah seorang daripada lelaki terbabit atas dakwaan mencetuskan kekacauan terhadap kumpulan etnik.

Januari lalu, Sweden menjadi tumpuan kemarahan umat Islam ekoran kebiadaban seorang ahli politik, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran di Stockholm. – MalaysiaGazette