Anak muda tidak melepaskan peluang bersalam dan ramah mesra dengan Anwar pada Majlis Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Sama Gagah di pekarangan Masjid Jamek Al-Qadri di Permatang Pauh hari ini.

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan sikap diam diri Dewan Ulamak Pas dalam memberi penjelasan berhubung beberapa kekeliruan kepada umat Islam termasuk ucapan ‘orang tak sokong Pas musuh Allah SWT’.

Antara isu lain yang diminta penjelasan termasuk Nabi Adam turun di Gunung Jerai serta Saidina Uthman Affan dan keluarganya pernah ke Kedah.

Jelas beliau, Dewan Ulamak Pas sepatutnya memberi teguran dan memperbetulkan kesilapan tersebut memandangkan ribuan penyokong yang walak terikut dengan dakwaan terbabit.

“Kita dengar ustaz di Kedah bagi tau, kalau kita tak sokong dia musuh Allah SWT. Boleh ka macam tu?  Dia cakap lagi, Nabi Adam turun di Gunung Jerai kemudian Saidina Uthman Affan dan keluarga dia pernah ke Kedah.

“Saya nak tanya, sebab apa ustaz-ustaz dan tok guru Pas tak bagi teguran dan betulkan kesilapan seperti ini. Ini tak betul, kita dakwah tapi kita izinkan kepalsuan,” katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Sama Gagah di pekarangan Masjid Jamek Al-Qadri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar turut mempersoalkan mengapa Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong beliau diangkat sebagai perdana menteri meskipun beliau bukan ahli Pas.

“Apakah benar orang yang tidak bersama Pas dikatakan musuh Allah SWT? Kalau betul kenapa Nik Aziz sokong saya menjadi PM sedangkan saya bukan ahli Pas

“Mereka kena ingat Allah SWT angkat darjat Islam itu yang tertinggi, bukan parti. Jadi yang mana ikut Islam kita hormat, jangan kita pula ganti hadis itu

“Jika Pas itu sendiri menegakkan Islam jadi tak perlulah mereka dipanggil polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa atau majlis agama atas isu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan,” tegas beliau.

Media sebelum ini melaporkan, pendakwah bebas, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli memohon maaf dan membuat penjelasan berhubung ucapannya yang menyebut ‘musuh Allah’ semasa Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, pada 24 Jun lalu.

Dalam ucapan ketika menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat, Syeikh Muhd Zainul Asri berharap agar ‘Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah SWT’. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ANWAR IBRAHIM ni selalu masuk berita ulangalik ke masjid tapi ilmu agamanya….? PAS bukan institusi Badan AGAMA ISLAM tetapi merupakan PARTI berlandaskan ISLAM. Agensi kerajaan yang ditubuh berhak untuk ANWAR IBRAHIM tanya dan belajar. PAS akan disiasat dan didakwa jika mengatasi bidang kuasa institution Agama Islam Malaysia. ANWAR IBRAHIM perlu belajar dengan ULAMAK UMNO ni…. jika PKR tiada ULAMAK..

Comments are closed.