KUANTAN – Kenali dan hayati cinta Tuhan maka kita akan mendapat cinta insan.

Itu antara pengisian jalan filem amal Syaaban  yang mengetengahkan konsep ikhlas.

Pengarahnya, Datuk Adi Putra berkata, hasil kutipan  filem pertama terbitannya itu akan disedekahkan kepada pertubuhan amal terpilih termasuk pusat tahfiz.

“Insya-Allah kutipan akan disalurkan kepada NGO dan maahad yang dikenal pasti kerana ia adalah wang diamanahkan. Ketika ini berapa pusat disenaraikan.

“Filem arahan sulung saya ini, ilhamnya dapat ketika di Kota Madinah, belum ada lagi di Malaysia filem berbentuk konsep amal.

“Bukan nak berbanding filem hebat tapi berbekalkan nilai muni dan kemanusiaan, keinsafan dari sudut reda ini membuatkan saya melaksankan filem ini pada 2019,” katanya.

Namun selepas itu kerja penyuntingan terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Menurutnya, jalan cerita ini diinspirasikan dari filem seberang, Kiamat Sudah Dekat yang popular awal tahun 90-an.

Syaaban diterajui Adi sebagai watak utama dan aktres baharu dari Singapura, Nadia Marican serta dibintangi Hasnol Rahmat, Jobot, Adeeb Nahar dan Akmal Khan.

Menurutnya tayangan pertama sesuai dengan ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha memberi keinsafan dan penghayatan erti korban sebenar dengan menitipkan konsep ikhlas serta redha dalam kehidupan

Filem bukan bermoti keuntungan itu merupakan terbitan ADP Studios ditayangkan di 56 pagawam seluruh negara bermula 29 Jun menelan kos pembikinan RM1.2 juta.

Ia turut ditayangkan enam pagawam di Singapura dan tiga pawagam di negara Brunei.

Adi beliau berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang dan Tourism Pahang atas sokongan yang diberikan.

“Aspek pelancongan saya manfaatkan setiap visual dan penggambaran boleh mempromosikan lokasi tempatan, penonton dapat melihat lokasi menarik di Pahang.

“Filem bukanlah untuk bersaing dengan filem yang hebat cuma di akhir zaman ini jika kita tidak merebut sesuatu ganjaran untuk akhirat adalah amat kerugian. Saya tidak ada figura sasaran kutipan.

“Indahlah jika kita kejar akhirat, akhirat akan kejar dunia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahaniza Shammsuddin  turut sama-sama menjayakan tayangan filem Syaaban di Kuantan City Mall pada malam Hari Raya Aidiladha lalu.

Jelasnya, filem tersebut itu dilihat ringan tapi jalan cerita sarat dengan mesej sangat mendalam sebagai seorang Muslim.

“Saya sama-sama memberikan sokongan kepada filem Syaaban, filem ini sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

“Konsep kutipan filem ini adalah filem amal di mana kutipan diberikan kepada anak yatim dan golongan memerlukan. Usaha yang baik, maka wajarlah kita memberi sokongan kepada Syaaban sambil beramal,” katanya. – MalaysiaGazette