Foto: SRAM

KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Ivan Yuen-Rachel Arnold, terpaksa berpuas hati bergelar naib juara Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023 selepas tewas 0-2 kepada gandingan India pada aksi final hari ini.

Dalam perlawanan di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China, Ivan-Rachel, selaku pilihan kedua kejohanan, ditunjukkan corak permainan agresif oleh pilihan ketiga, Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal sebelum menyaksikan mereka tewas 10-11 pada set pertama.

Di set kedua, tatkala harapan menggunung untuk melihat Ivan-Rachel bangkit menyamakan mata, bagaimanapun, tidak kesampaian apabila mereka turut tewas 8-11.

Dalam pada itu, satu lagi beregu campuran negara, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman, meraih gangsa selepas menewaskan gandingan India, Abhay Singh-Anahat Singh dengan keputusan 11-8 dan 11-10 bagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan.

Kejohanan beregu campuran tersebut menjadi medan persiapan buat semua negara apabila acara beregu campuran diperkenal pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, September ini. – Bernama