menteri Israel Malaysia
Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Seramai 127 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa mangsa sindiket jenayah penipuan sebuah syarikat di Filipina akan pulang ke tanahair tidak lama lagi.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, mereka telah diselamatkan polis Filipina dalam serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO).

Katanya, pihak berkuasa Filipina akan memulakan proses deportasi ke atas semua mangsa setelah proses siasatan dan dokumentasi ke atas mereka selesai.

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila akan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi menghantar pulang kesemua mangsa ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya, hari ini.

Pada Rabu lalu, Kementerian Luar mengenalpasti dan mengesahkan 134 daripada 2,714 mangsa sindiket jenayah penipuan sebuah syarikat di Filipina adalah rakyat Malaysia.

Usaha itu dilakukan Kedutaan Besar Malaysia di Manila selepas pihak berkuasa negara itu menyerbu sebuah syarikat dan menahan ramai pekerja.

Semua pekerja itu dipercayai diperdaya menjadi mangsa dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan, buruh paksa dan tahanan salah di Filipina.

Menurut kenyataan it, hasil lawatan konsular yang telah diadakan ke atas mangsa-mangsa warga Malaysia mendapati kesemua mereka dalam keadaan baik.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa isu logistik dan kebajikan yang sedang diteliti dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa Filipina. – MalaysiaGazette