Logo Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin dikritik berhubung janji lantikan politik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya PN menang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dalam satu kenyataan hari ini, janji Pengerusi PN itu adalah satu bentuk salah guna kuasa yang bertentangan amalan tadbir urus baik.

Kata gabungan itu, objektif GLC ialah untuk memelihara dan mengembangkan syarikat awam dan tidak sepatutnya dianggap seperti mesin juruwang automatik (ATM) parti politik dengan melantik penyokong masing-masing dalam senarai gaji negeri.

“Kami tertanya-tanya, adakah kenyataan ini satu bentuk pembelian undi untuk mendapatkan sokongan kumpulan tertentu dan ianya dilakukan dalam pengisytiharan terbuka.

“Ketika ini naungan politik itu malangnya sudah menjadi sebahagian daripada budaya politik dan setiap kerajaan berturut-turut, termasuk Kerajaan Perpaduan semasa juga bersalah kerana melantik ahli politik sama ada wakil rakyat atau bukan wakil rakyat ke lembaga pengarah GLC,” katanya.

Menurut BERSIH, pihaknya konsisten sebagai pemerhati dan kumpulan pendesak di semua pentadbiran yang berbeza sepanjang tahun bahawa ahli politik yang juga wakil rakyat tidak harus dilantik ke GLC.

“Pengundi perlu bijak mengundi dalam PRN akan datang bagi memastikan parti atau calon yang komited dengan reformasi institusi untuk menghapuskan rasuah dipilih supaya negara dapat dibebaskan daripada belenggu naungan politik dan rasuah,” tegasnya. -MalaysiaGazette