Razali Idris

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menafikan wujud pergolakan dalaman sehingga berlaku insiden pemecatan dalam Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu parti itu.

Sebaliknya apa yang berlaku bersekutu hanya sedikit pertukaran jawatankuasa sedia ada kepada beberapa pimpinan baharu dilakukan oleh Ketua Sayap Bersekutu, Dr Chong Fat Full pada bulan lepas.

Menurut Razali, istilah pecat  tidak berlaku kerana sebarang pemecatan hanya boleh dilakukan oleh Majlis Tertinggi Pusat Bersatu sahaja.

“Apabila Dr Chong ambil alih daripada mantan Ketua Sayap Bersekutu, Datuk Seri Santhara Kumar, beliau akan buat sedikit perubahan, saya nampak tidak ada isu pergolakan atau pecat. Isu pecat ini, kamu perlu faham sayap tidak boleh pecat-pecat.

“Parti yang boleh pecat, apa yang berlaku dalam sayap ketika ini hanyalah pertukaran kepimpinan sahaja. Pertukaran ini juga berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), perkuatkan sayap sekaligus sayap. Itu sahaja.

“Pada pandangan saya sebagai ketua penerangan, ini adalah satu proses biasa. Bukan sahaja kuatkan parti tapi beri peluang kepada tokoh-tokoh kepimpinan baru juga untuk ‘berperang’ pada PRN nanti, itu yang penting,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Razali mengulas laporan terdapat tiga ahli jawatankuasa yang telah dipecat dalam Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu

Sayap Bersekutu Bersatu merupakan entiti dalam parti tersebut yang yang mewakili ahli dalam kalangan bukan bumiputera.

Difahamkan tiga pimpinan itu ialah Timbalan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Mahaganapathy Dass, ketua penerangannya, S. Subramaniam dan ahli jawatankuasanya, MU Raja telah dipecat dan berita mengenainya tersebar semalam.

Beberapa pertikaikan telah dikemukakan dalam isu pemecatan tersebut termasuk mendakwa ia tidak mengikut perlembagaan parti dan tidak mendapat ‘restu’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga pemimpin Sayap Bersekutu Bersatu dipecat

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast