Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang ‘bergolak’ dengan pemecatan tiga pemimpinnya baru-baru ini.

Sayap Bersekutu Bersatu merupakan entiti dalam parti tersebut yang yang mewakili ahli dalam kalangan bukan bumiputera.

Difahamkan tiga pimpinan itu ialah Timbalan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Mahaganapathy Dass, Ketua penerangannya, S. Subramaniam dan Ahli jawatankuasanya MU Raja telah dipecat dan berita mengenainya telah bocor mulai semalam.

Beberapa pertikaikan telah dikemukakan dalam isu pemecatan tersebut termasuk mendakwa ia tidak mengikut perlembagaan parti dan tidak mendapat ‘restu’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber parti itu, perlembagaan Bersatu telah menetapkan ahli tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya lebih-lebih lagi ketika menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Yang kononnya dipecat ini adalah pemimpin dalam kalangan masyarakat India, mengapa pecat ketika kita hendak berperang (PRN)? Bersatu juga perlukan undi masyarakat India, pemecatan-pemecatan ini juga tidak dinyatakan dengan jelas.

“Mengapa sekarang dalam beberapa minggu lagi kita hendak PRN? Tindakan seperti ini jugalah yang akan menjejaskan imej dan keyakinan masyarakat yang telah dibina dengan begitu susah sekali. Kami difahamkan perkara ini bertentangan dengan kehendak Presiden Bersatu dan juga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita juga tidak faham surat pemecatan ini, tidak ada nama yang disebut malah ianya juga tidak ditandatangani oleh presiden, ia juga difahamkan tidak diserahkan secara rasmi kepada ahli dipecat. Surat-surat pemecatan ini diketahui berlegar dalam kumpulan WhatsApp sahaja,” dakwanya.

MalaysiaGazette yang turut melihat surat pemecatan itu yang ditandatangani oleh Penolong Setiausaha Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Richard Ng memaklumkan perkara tersebut melalui satu surat bertarikh 16 Jun 2023 tanpa menulis nama-nama dipecat itu.

Salah seorang yang telah dipecat itu, S. Subramaniam dilaporkan telah mengesahkan beliau dipecat sebanyak dua kali.

Kali pertama hanya melalui mesej WhatsApp dan kemudian surat pemecatan yang diterimanya bulan lalu.

Pada masa sama, Ketua Sayap Bersekutu, Dr Chong Fat Full mendakwa dalam sebuah portal media, beliau telah diberi kuasa untuk menentukan nasib ahli jawatankuasa.

Fat Full mendakwa, kuasa sedemikian dinyatakan dalam watikah pelantikan terkini 6 Jun lepas.

MalaysiaGazette sedang cuba menghubungi pihak berwajib bagi mengesahkan dakwaan-dakwaan ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sikiranya benar itu PERLU dilakukan. Jika itu hanya “TIDAK PASTI” jangan kongsi… MG perlu RUJUK BERITA SEBENAR… sebelum lapor itu yang ditekankan DAP dan PKR.. apa cer?????

Comments are closed.