Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bapa direman tujuh hari selepas menampar dua anaknya  masing-masing berusia 11 dan 3 tahun hingga cedera dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku pada 28 dan 25 Jun lalu  apabila isteri suspek meminta pasport miliknya dan anak-anak.

Suami pengadu naik berang terus menumbuk muka anak perempuan umur 11 tahun (mangsa 1) sebanyak dua kali.

“Pada Ahad lalu suami pengadu telah menampar muka anak lelaki umur 3 tahun (mangsa 2) dengan kuat sehingga meninggalkan kesan lebam,” katanya dalama satu kenyataan di sini.

Lelaki yang bekerja sebagai penunda kereta itu turut mengugut isterinya supaya tidak membuat laporan polis atas tindakannya mencederakan kedua-dua anak mereka.

Mohd Azam berkata, lelaki tersebut ditahan Jumaat lalu di Kampung Ampang Indah.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod lampau  jenayah dan dadah, malah ujian air kencingnya juga negatif dadah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak manakala Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu jenayah sehingga mendatangkan ketakutan.

Jika disabit kesasalahan, suspek boleh dijatuhkan  hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Hukuman Seksyen 506 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh 2 tahun atau denda atau kedua-duanya,” jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua anak suspek kini ditahan di wad pediatrik Hospital Ampang bagi rawatan dan pemantauan lanjut.- MalaysiaGazette