Ahmad Maslan menerima cenderamata dari Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi) Kementerian Kewangan Malaysia Rosni Nawati Ngah sempena lawatan kerja ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Johor, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Penuntut-penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak memperoleh inisiatif eBeliaRahmah kerana mereka telah menerima elaun sara hidup sebanyak RM450 sebulan.

Oleh itu, dakwaan pelajar IPG diketepikan daripada menerima eBeliaRahmah tidak benar sama sekali, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tegasnya, ahli politik yang membuat tuduhan tersebut perlu menyemak semula fakta berhubung pelajar IPG yang telah mendapat elaun.

“Perlu faham dahulu. Pelajar IPG bukan tidak dapat eBeliaRahmah kerana kita ketepikan mereka. Tetapi kesemua mereka ini sudah pun diberikan elaun yang disediakan kerajaan.

“Berbeza dengan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), mereka tidak terima elaun RM450 sebulan.

“Saya harap ahli politik yang berkenaan menyemak fakta bahawa pelajar IPG dapat lebih daripada yang lain melalui elaun bulanan yang disediakan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor hari ini.

Ahmad juga menjelaskan, seramai 2 juta belia dan berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di IPT layak menerima kredit berjumlah RM200 melalui pelbagai platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu.

Jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023.

Ahmad membuat penjelasan itu bagi menjawab dakwaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoalkan mengapa pelajar IPG dianaktirikan daripada mendapat manfaat inisiatif eBeliaRahmah

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan perkara tersebut tidak adil memandangkan mereka juga pelajar sepenuh masa sama seperti penuntut IPT yang lain.- MalaysiaGazette