Esther Wang

OTTAWA – Seorang remaja Kanada telah ditemui selepas dia hilang lebih 50 jam di hutan belantara Golden Ears Park.

Esther Wang, 16, hilang selepas dia terpisah daripada kumpulan pendaki di kawasan seluas  555 kilometer persegi (214 batu persegi) di British Columbia.

Pihak berkuasa melancarkan pencarian besar-besaran 54 jam termasuk menggunakan sebuah helikopter, dron dan 16 pasukan pencari.

Tetapi remaja itu muncul tanpa cedera dari jejaknya sendiri pada hari Jumaat.

Polis berkata, Wang kini sudah bersama keluarganya.

“Dia sihat, dia gembira, dia bersama keluarga,” kata Polis Diraja Kanada dalam satu kenyataan.

Pemandangan di hutan Golden Ears Park.

Supritendan Wendy Mehat berkata, keluarga Wang telah melahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan pencari dan penyelamat.

Wang muncul dari kawasan belukar East Canyon, lokasi dia mula disedari hilang sekitar jam 7.30 waktu tempatan pada hari Jumaat.

Setakat ini pihak polis tidak mengetahui bagaimana dia boleh terpisah dengan kumpulannya.

Media tempatan melaporkan kumpulan itu meninggalkan tempat peninjauan sekitar 2.45 petang pada hari Selasa, dan menyedari Wang tidak bersama mereka sekitar 15 minit kemudian.

Ketua kumpulan kembali ke tempat peninjau tetapi tidak menjumpainya, lantas menghubungi pasukan keselamatan.

Pencarian dilancarkan tidak lama kemudian.

Wang yang ditemui tidak mengalami keecederaan kecuali ada kesan gigitan nyamuk. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast