adam adli
Adam Adli Abd Halim (empat dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil peserta Program TVET Belia Malaysia-China pada majlis pelancaran program tersebut di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim meminta Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab dahulu soalannya berhubung sama ada partinya mahu berada dalam blok kerajaan atau pembangkang.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu sepatutnya berbuat demikian sebelum mempersoalkan tentang janji-janji reformasi yang dilaungkan PKR semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Soalan jangan tanya balik dengan soalan, saya tanya soalan dekat dia, dia belum jawab lagi.

“Suruh dia jawab dulu soalan tu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan peserta Program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Belia Malaysia-China di sini, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq turut menggesa PKR menyatakan pendirian tentang isu pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isu kapal tempur pesisir (LCS), pengisytiharan aset menteri-menteri Kabinet, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit.

Sebelum itu, Rabu lalu, Adam Adli menggesa MUDA menyuarakan pendirian sama ada masih berada di blok kerajaan atau tidak dan menjelaskan matlamatnya selepas memutuskan untuk bergerak solo pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berharap pengundi di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memilih parti yang mampu membentuk kerajaan negeri yang kompeten dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, pengundi muda khususnya berdepan dengan isu berkaitan pengangkutan awam, kebersihan dan keselamatan komuniti.

“Ia berkait rapat dengan kehidupan seharian rakyat, dasar kerajaan tempatan.

“Penting pastikan kerajaan negeri yang dipilih adalah kompeten yang ada kesediaan untuk memerintah dan tahu bagaimana nak mengatasi masalah-masalah harian rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette