MUDA PH Kit Siang COVID-19 Muhyiddin golden son kadazan
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berpandangan, masih belum terlambat untuk Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demoratik Malaysia (MUDA) mencapai persefahaman sebelum enam pilihan raya negeri (PRN).

Menurut beliau, langkah itu dapat mengelakkan berlaku perpecahan undi pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Saya sudah bersara dari politik barisan hadapan dan saya tidak tahu apa yang sedang terjadi di antara MUDA dan PH atau Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi saya menyimpan cita-cita untuk melihat MUDA bekerjasama dengan PH dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam enam PRN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan, partinya akan bertanding secara solo dalam enam PRN.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah MUDA tidak diundang dalam perbincangan mengenai pembahagian kerusi oleh PH.

Keputusan itu akan menyebabkan MUDA terpaksa bertembung dengan PH yang sebelum ini menjadi sekutunya pada PRN Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Rabu lalu, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim menggesa MUDA menyuarakan pendirian sama ada masih berada di blok kerajaan atau tidak dan menjelaskan matlamatnya selepas memutuskan untuk bergerak solo pada PRN di enam negeri. – MalaysiaGazette