Mohd Kamarudin Md Din

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap seramai 92,257 orang di bawah pelbagai kesalahan dadah sepanjang tempoh bermula 1 Januari tahun ini sehingga 30 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Kamarudin Md Din  berkata, kesemua mereka telah ditahan pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (R&P) 1983.

Daripada jumlah tersebut, seramai 298 individu telah diberkas di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Sementara, sebanyak 185 sindiket dadah yang melibatkan seramai 572 orang berjaya diberkas.

“Dalam kejayaan itu, sebanyak lapan buah makmal pemprosesan dadah haram turut berjaya dibongkar oleh JSJN dan melakukan enam tangkapan ke atas ahli kimia yang disyaki bertanggungjawab menghasilkan dadah makmal tersebut,” katanya menerusi laman Facebook rasmi PDRM pada hari ini.

Mengulas perkembangan sama, sepanjang tempoh enam bulan itu, pihaknya turut berjaya merampas sebanyak 10,016 kilogram pelbagai jenis dadah dan 1,604 liter pelbagai jenis cecair dadah.

Selain itu turut merampas sebanyak 41,431 kilogram daun ketum, 27,213 liter air ketum serta 20 batang pokok ganja yang membawa nilai keseluruhan rampasan dadah itu sebanyak RM286 juta.

Tambahnya, seramai 4,024 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,318 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Kamarudin berkata, daripada jumlah itu seramai 287 orang adalah penjawat awam yang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

Empat daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 38,064 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 35,058 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.10 peratus,” ujarnya.

Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM55.9 juta turut disita  manakala sebanyak RM5.3 juta nilai harta telah dilucuthak..- MalaysiaGazette