Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 4 Tahun 20023 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Senarai nama dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan majlis agama Islam akan digunakan bagi mengenal pasti kumpulan asnaf dan daif  untuk  menangani isu miskin bandar.

Pendekatan itu dilakukan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membolehkan bantuan diberikan secara langsung kepada kumpulan sasar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Bagi kawasan miskin bandar, kita akan lakukan secara NBOS menggunakan senarai daripada PPZ dan majlis agama Islam namun tidak berhajat mencampuri soal pentadbiran.

“Kita memohon kumpulan asnaf dan daif dibantu secara langsung di kawasan bandar mengikut senarai sedia ada,” katanya pada Sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataaan, Ahmad Zahid berkata, analisis sentimen media sosial dan lapangan kos sara hidup bagi tempoh 21 hingga 27 Jun lalu mendapati isu bawah kategori ekonomi direkodkan 10.4 peratus dengan subkategori utama, antaranya membabitkan kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan.

Katanya, isu di lapangan berkaitan kenaikan harga barang direkodkan sebanyak 68.1 peratus, kekurangan bekalan (23.5 peratus) dan lain-lain (8.4 peratus).

“Berdasarkan dapatan berkenaan, rakyat mengeluh mengenai kenaikan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan asas. Selain itu, kekurangan bekalan minyak masak peket dan gula turut berbangkit.

“Justeru, saya bersetuju usaha proaktif berterusan dalam mengurangkan beban rakyat menerusi pengesahan pihak ketiga seperti industri dan pemimpin pendapat utama,” ujarnya. – MalaysiaGazette