Selangor Kit Siang Anwar gelombang hijau
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengakui kerajaan negeri Selangor yang diketuai Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelemahan, kesilapan dan kegagalan.

Namun, menurut beliau, segala kelemahan, kesilapan dan kegagalan itu boleh diperbetulkan sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Kit Siang yakin ia akan berlaku kerana rakyat mahu melihat Selangor dan Malaysia yang lebih baik dari segi tadbir urus serta mengurangkan ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam masyarakat.

“Tetapi jika Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas dan Bersatu berjaya mengalahkan gabungan PH-BN di Selangor bulan depan, segala kelemahan, kesilapan dan kegagalan ini tidak akan diatasi.

“Pada masa akan datang, Selangor akan menjadi sebuah negeri yang berpecah-belah, gagal dan korup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PRN Selangor bakal menyaksikan kerjasama sulung antara PH dan BN untuk mempertahankan negeri itu daripada dikuasai oleh PN.

Ketika ini, PH menyandang 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor manakala BN mempunyai lima kerusi sahaja.

PN pula menyandang tujuh kerusi DUN manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempunyai tiga kerusi.

PH menguasai Selangor sejak 2008 setelah menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast