Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak Jumaat ini.

Perkara itu disahkan peguam mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada 13 Oktober 2022, Rosmah memfailkan petisyen rayuan dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhkan hukuman terhadapnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.

Pada 1 September 2022, hakim tersebut mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah juga memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda tersebut namun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn, Bhd., Saidi Abang Samsudin. – MalaysiaGazette