Pelancong asing tidak melepas peluang untuk berkunjung ke Pulau Sapi dan melakukan aktiviti riadah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pulau Sapi, Sabah. Foto MUHD NA’IM, 13 OKTOBER 2022.

PORT DICKSON – Peningkatan kemasukan pelancong luar ke negara ini diyakini dapat mengukuhkan nilai mata wang ringgit yang kini agak rendah, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, ketika ini lebih 200 juta pelancong dari China sedang merangka perjalanan mereka ke pelbagai negara dan berharap memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

“Kita inginkan pelancong yang ramai kerana ia memberi pendapatan kepada negara termasuk rakyat yang terlibat dalam sektor pelancongan, hotel, makanan dan minuman.

“Pada masa sama permintaan terhadap ringgit akan menjadi lebih tinggi apabila pelancong ramai datang dan ia dapat memperbaiki prestasi ringgit,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Jeti Penumpang Port Dickson di sini hari ini.

Justeru, katanya agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu turut memainkan peranan dalam merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di negara ini.

“Hal lambat di lapangan terbang dan di jeti ini perkara yang berulang. Saya kira pada saat kita memerlukan pelancong yang ramai datang ke negara ini, antara agensi yang memainkan peranan penting ialah Kastam iaitu bagi menguruskan ketibaan pelancong dari luar.

“Namun, saya lihat ada penambahbaikan dilakukan, contohnya di jeti ini, Kastam menggunakan pendekatan mengumpul barangan untuk disaring di mesin pengimbas sementara penumpang lain berbaris menunggu giliran di kaunter, ia satu kaedah boleh percepatkan proses barisan,” katanya.

Sementara itu,  Ahmad berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri merekodkan kutipan rampasan serta tangkapan lebih RM800,000 bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Menurutnya daripada jumlah itu, cukai yang sepatutnya dikutip ialah RM1.04 juta yang melibatkan barangan seperti rokok, minuman keras dan kenderaan. – BERNAMA