SEREMBAN – Sejumlah besar penyokong tradisi UMNO termasuk ahli-ahli parti itu sendiri dikatakan masih kecewa dan berasa ‘geli-geleman’ untuk bekerjasama dengan DAP pada enam pilihan raya negeri (PRN).
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka belum dapat melupakan tindak-tanduk DAP yang mencerca dan menentang dasar-dasar yang dibawa UMNO ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
“Kumpulan ini perlu beralih kepada satu alternatif yang jelas iaitu PN,” katanya pada majlis ramah mesra bersama pengamal media di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tentang kemungkinan penyokong dan ahli UMNO tidak mematuhi arahan parti untuk bekerjasama dan menyokong DAP pada kempen PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Turut hadir, Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus dan Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahya.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendakwa, kerjasama yang ditunjukkan oleh UMNO dan DAP ketika ini adalah lakonan semata-mata.
“Baru-baru ini saya ada jumpa rakan-rakan daripada DAP, mereka mengaku mereka sekarang ini terpaksa berlakon menyokong UMNO.
“Begitu juga UMNO pun berlakon menyokong DAP walhal dalam hati mereka tiada keserasian,” jelasnya.
Beliau memberitahu, situasi yang sama pernah dialami Bersatu ketika bersama DAP dalam Pakatan Harapan (PH) dahulu.
“Kita terpaksa buat keputusan secara bersendiri, parti buat keputusan dasar secara bersendiri, jadi ia akan lebih kita nampak dari sehari ke sehari,” katanya.
Ahmad Faizal juga yakin PN mampu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas PRN walaupun dianggap sebagai ‘underdog’ berbanding PH dan Barisan Nasional (BN).
“Walaupun kami tidak menyandang mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kalah semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), para ‘pemain’ PN di Negeri Sembilan adalah mereka yang berpengalaman,” jelasnya.
Malah, Pengerusi PN Negeri Sembilan itu yakin pengajaran yang diterima pada PRU15 dapat dimanfaatkan agar mereka tidak tewas lagi pada PRN. – MalaysiaGazette

















Bila dengar je nak kerjasama, majoriti sudah geli geleman!!!
Sama macam Pas dulu yang buat kerjasama, ramai yang geli geleman. Syukurlah manusia merancang, Allah merancang, perancangan Allah yang terbaik.