Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abd Rahman. Foto MUHD NA’IM, 01 JULAI 2023.

PETALING JAYA  – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan melancarkan tabung dana MUDA Hustle bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata, beliau akan mengetuai inisiatif itu dengan menjual otak-otak Muar pada Jumaat ini secara dalam talian.

“Saya akan memanfaatkan platform TikTok, Facebook, Twitter dan khususnya pasaran atas talian dengan bermula menjual otak-otak Muar. Saya sendiri dengan rakan-rakan sukarelawan akan siapkan otak-otak Muar tersebut untuk dijual secara atas talian.

“Kita akan memulakan inisiatif ini di mana semua pimpinan dan akar umbi MUDA akan membuat crowdfunding mereka sendiri. Ada Ahli di Sabah akan menjual kasut mereka, ada ahli MUDA juga yang akan menjual aset mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama MUDA, di sini hari ini.

Syed Saddiq yang juga Bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, akar umbi MUDA perlu berfikiran luar kotak untuk meraih dana parti pada PRN.

Jelas beliau, inisiatif itu akan berhasil berikutan pendekatan sama pernah diambil sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MUDA, Siti Rahayu Baharin berkata, MUDA juga akan membuka gerai masakan pada Ahad bagi mendanai parti itu di PRN nanti.

“Ahli parti selalu kata pilihan raya memerlukan kempen yang besar, dan kita mempunyai kekangan kewangan jadi kita akan hustle sampai berhasil untuk mendanai wanita-wanita yang berketerampilan dan layak untuk memimpin.

“MUDA nak buktikan bahawa pilihan raya, dan kepimpinan bukan hanya tempat bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan sahaja tetapi sebagai demokrasi dan ruang bersama,” katanya. -MalaysiaGazette