KUALA LUMPUR – Selepas Datuk Seri Aliff Syukri menuntut hutang yang didakwanya berjumlah juta ringgit daripada bekas menteri – seorang lagi pengasas kosmetik juga berbuat demikian.
Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi mendakwa seorang wanita yang juga usahawan dikenali sebagai Che Ta Potpet berhutang dengannya sebanyak RM150,000.
Menerusi hantaran di Instagram, Iddin merupakan pengasas produk jenama ESW menjelaskan dia terpaksa membuat pendedahan itu kerana ramai yang bertanya isu tersebut walaupun dia sudah lama berdiam diri.
“Pihak yang berhutang dengan saya adalah seorang pengasas produk bernama Che Ta dan suami, Aaron Lee.
“Saya telah ditipu sebanyak RM150,000 oleh Cheta dan suami, Aaron Lee untuk membayar satu perkhidmatan namun selepas wang diberikan pasangan itu sepi seribu bahasa serta mengelak dari bertemu atau berhubung.
“Sila pulangkan duit saya! Tempoh dua minggu diberikan untuk kamu berdua jelaskan hutang sebanyak RM150,000 sudah tamat. Sekarang lebih tiga minggu, satu sen duit pun saya belum terima,” tulisnya.
Iddin dan Che Ta Pot Pet atau nama sebenarnya Rozita Baharom yang merupakan pengasas produk kecantikan Secret Desire, masing-masing popular di negeri sebelah utara.
Mengulas lanjut, Iddin mendakwa dia mempunyai bukti surat peguam pasangan suami isteri itu yang bertarikh 7 Jun lalu yang antara lainnya menyebut Aaron atau Mohd Rosli Abu Bakar berjanji untuk membayar wang kepadanya sebanyak RM150,000 secara berperingkat bermula tarikh 14, 20 dan 25 Jun lalu dengan jumlah sekali transaksi RM50,000.
Jelasnya, dia mengambil pendekataan berdiam dir sepanjang Jun lalu kerana mahu memberi peluang dan melihat sejauh mana komitmen mereka dalam menyelesaikan masalah ini.
Malangnya, kata Iddin mereka mungkir janji.
“Pasangan ini siap pukul canang kononnya mereka difitnah. Fitnah apa bendanya? Semua bukti saya ada! Perbuatan khianat Cheta dan suami yang sebelum ini merupakan sahabat saya terbongkar selepas saya memuat naik satu video pada 1 Jun lalu.
“Bayangkan, bermula sebagai sahabat, kini menjadi musuh! Ketika itu, saya kongsikan video selepas saya baru sahaja selesai membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara. Saya akui, ketika itu saya berada dalam keadaan marah menuntut agar wang saya segera dikembalikan oleh mereka.
“Rupa-rupanya, mereka bukan sahaja mensasarkan saya sebagai mangsa tetapi turut ‘mengenakan’ lingkungan rakan-rakan pengasas produk rapat yang lain termasuk dakwaan menipu ramai cawangan pengedar mereka sendiri yang selama ini membantu mengembangkan pasaran produk,” katanya. – MalaysiaGazette
Itu lah melayu bila berkuasa, mempunyai wang dan glamour..mula lupa diri. Ingat mati itu pasti, soal jawab kubur pasti, syurga neraka pasti.